Apabila menceritakan membeli emas sebagai aset, saya rasa saya telah memperkatakan perkara ini hampir selama tiga tahun. Sangat selalu saya diajukan soalan mengapa perlu beli emas? Bagaimana nak beli emas? Kesimpulan yang mudah dapat saya katakan adalah masih ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang tidak terdedah dengan emas. Apa yang mereka tahu hanyalah membeli barang kemas.
Kepada golongan wanita seringkali mereka mempertahankan keputusan membeli barang kemas. Kata-kata seperti ini sering diucapkan "masa susah nanti barang saya jugak ke dalam." Agak melucukan juga tetapi ini memang benar. Bagi lelaki pula, ayat yang selalu keluar adalah, " Asyik beli barang kemas je, membazirlah, kan boleh beli benda berfaedah".
Ada satu cerita yang saya ingin berkongsi di sini dan juga satu idea ingin saya sampaikan pada posting ini. Saya cerita dulu lah sebab orang lebih suka baca cerita berbanding nak fahamkan satu-satu teori atau idea. Bacalah posting yang akan datang untuk anda fahami idea atau konsep yang saya ingin kongsikan. Di posting ini kita berkongsi cerita ini terlebih dahulu.
Cerita saya ini dapat membayangkan saudara saudari betapa pentingnya ada emas sebagai simpanan. Tahun lalu,tahun 2009, di saat umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa, dalam tempoh seminggu sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Aidil Fitri, saya kehilangan seorang sepupu yang kembali ke Rahmatullah. Pemergian beliau sangat mengejut. Beliau merupakan seorang doktor muda yang sangat baik orangnya meninggal dunia pada umur 34 tahun. Oleh kerana beliaulah harapan keluarga, segala tanggungan keluarga di atas bahu beliau. Pemergiannya meninggalkan seorang ibu yang berstatus ibu tunggal dan seorang anak angkat.
Ibu beliau (makcik saya) sudah lama tidak bekerja dan semua perbelanjaan keluarga adalah tanggungjawab si arwah. Pemergiannya yang mengejut kerana sakit jantung telah menyebabkan ibunya kehilangan tempat bergantung. Beliau mempunyai insurans yang bernilai ratusan ribu ringgit, kereta mewah, simpanan di bank, ASB dan juga rumah. Namun begitu harus kita ingat, sekiranya kita tidak sempat mewariskan apa-apa kepada pewaris kita, apabila kita meninggal dunia, semua aset-aset kita akan dibekukan sehingga selesai urusan-urusan dokumentasi yang berkaitan. Begitu juga dengan insurans. Apabila keluar laporan penuh perubatan barulah wang pampasan insurans dibayar kepada pewaris.
Terfikir atau tidak saudara, apa yang membantu ibunya meneruskan segala kos-kos seharian dan segala belanja kenduri dan sebagainya? Selain sumbangan ahli keluarga dan jiran yang terdekat, ibunya dapatlah menjalani kehidupan seperti biasa dari sudut kewangan, melalui emas.
Arwah pernah memajakkan emas pada kuantiti yang agak banyak. Namun begitu, pajakan yang diberi hanyalah 65% sahaja dari nilai penuh emas miliknya. Apa yang ibunya lakukan adalah pergi menebus bagi pihak arwah dan menjualkan semula semua emas tersebut. Wang baki 35% yang tidak terpajak itulah yang menjadi perbelanjaan harian serta membayar tanggungan lain sehinggalah dia mendapat pampasan insurans arwah.
Cuba renungkan mendalam, saya rasa persoalan dari sesiapa sahaja yang bertanya kenapa perlu simpan emas, kenapa bukan aset lain, semuanya terjawab dengan cerita saya ini. Tiada aset lain yang dapat memberi kita tunai dalam tempoh kecemasan sebegitu kecuali emas. Emas merupakan aset yang terpaling tinggi kecairannya berbanding aset lain.
Jika anda ada rumah,esok anda ingin guna tunai, pasti anda tidak akan dapat kerana ia bukanlah barang yang dapat dijual dalam tempoh mengejut sebegitu. Begitu juga dengan tanah, kereta, ASB, FD dan sebagainya, kalau akaun itu bukan milik kita, pihak bank tidak akan membenarkan ia dikeluarkan sehingga jelas dokumentasi pewaris terhadap aset atau harta kita. Jadi tepuk dada tanyalah hati. Kejadian itu menguatkan lagi kepercayaan saya terhadap kecairan emas dan betapa bergunaya ia. Jadi kepada saudari atau puan-puan di luar sana, tidak mengapa membeli emas. Ianya sangat bagus. Bagi saudara-saudara dan tuan-tuan janganlah dimarahi isteri sekiranya mereka membeli barang kemas. Namun begitu membelilah dengan bijak.
Emas ini dinilai atas ketulenannya (karat emas tersebut) dan beratnya. Maka membeli rekabentuk terkini dan jenama adalah satu perbuatan yang merugikan diri kita sendiri. Jadi saudari-saudari dan puan-puan teruskanlah membeli manakala saudara-saudara dan tuan-tuan pula, pantaulah emas yang dibeli. Tekankan pada ketulenan dan berat bukan pada cantik rupa bentuk emas itu.
Akhir sekali, harap saudara saudari pembaca menuruti posting-posting saya yang akan datang kerana saya ingin berkongsi maklumat mengenai jenis barang kemas yang baik untuk dibeli dan yang mana pula kurang baik untuk dibeli.